TERKINI DARI SEDAKASEJAHTERA.COM

Suara Anak Pahang Lapor Polis Berhubung Iklan Aidilfitri TV3 - Hina Umat Islam

KUANTAN: Suara Anak Pahang (SUAP) hari ini membuat satu laporan polis berhubung penyiaran iklan hari raya oleh sebuah stesen televisyen swasta yang didakwa menghina umat Islam di negara ini.

Laporan polis itu dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak SUAP, Mohd Shukri Mohd Ramli kira-kira jam 3 petang tadi di Ibupejabat Polis Daerah Kuantan di sini.

Mohd Shukri berkata, pihaknya mahu satu siasatan dijalankan terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam penerbitan iklan itu.

"Biarpun kemaafan telah dibuat oleh pihak TV3, namun begitu kes yang cukup biadap ini perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa demi kesucian Islam di negara ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Katanya iklan yang disiarkan mulai 2 September lepas sebelum ditarik balik tiga hari kemudian tidak wajar diterbitkan untuk siaran tanpa sebarang penapisan oleh pihak berkenaan sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam.

Beliau berkata pihaknya juga bercadang memfailkan saman terhadap Pengarah Kreatif TV3, Pengarah Urusan TV3, Media Prima dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan berhubung kes itu. - BERNAMA

Bade Nafi Kahwin Lagi : "Demi Allah, Sehingga Saat Ini Hanya Erma Fatima Isteri Saya .....


Kasih sayang antara Erma dan suaminya, Bade sentiasa mekar biarpun selepas 20 tahun menjadi suami isteri.


SUDAH lebih dua dekad mereka hidup sebagai suami isteri. Selama tempoh itu, pasangan selebriti ini hidup dalam kerukunan.

Namun, adat menjadi orang ternama, umpat fitnah masyarakat harus ditelan.

Selama menjadi suami isteri,Fatimah Rahmad, 42, atau mesra disapa sebagai Erma Fatima dan suaminya, sutradara dan jurugambar tersohor, Badaruddin Azmi atau Bade, 44, jarang memberi temu bual kepada pihak media.

Apa yang uniknya mengenai suami isteri popular ini juga ialah rumah tangga mereka sentiasa harmoni. Tidak pernah ada berita mengenai dakwaan keretakan mahligai yang dibina atas dasar persahabatan dan kemudian cinta.

Prinsip hidup Erma dan Bade sangat mudah, saling mempercayai dan menghormati antara satu sama lain.

Keharmonian rumah tangga mereke diserikan lagi dengan kehadiran lima orang anak; Mohd. Shamiel E'quan, 18, Ahmad Arir, 16, Ahmad Aifin, 15, Citra, 9, dan Nurain, 6.

Biarpun kelima-lima permata hati anak angkat, namun kasih sayang dan belaian Erma dan Bade pada mereka tiada tolok bandingnya.

Dalam leka melayari bahtera rumah tangga yang tenang, tiba-tiba ada khabar yang sampai ke telinga media.

Bade dilaporkan berkahwin satu lagi. Dalam erti kata mudah, Erma dimadukan. Khabar angin itu mendakwa, Bade berkahwin lagi di luar pengetahuan Erma kerana inginkan zuriat sendiri.

Sejak khabar angin itu tersebar, ramai wartawan yang menghubungi Erma dan Bade untuk merakamkan foto mereka sekeluarga. Seperti dijangka, pasangan suami isteri ini mengelak untuk ditemuramah secara berdepan.

Bagaimanapun, hasrat Hits direalisasikan mereka pada sambutan Ramadan kelima pada 15 Ogos lalu.

Di kediaman mereka di Taman Melawati, Hulu Kelang, Selangor, Hits mengatur sesi fotografi raya bersama kelurga pasangan itu.

Kesempatan dan peluang pada hari itu diambil penulis untuk bertanya sendiri pada Bade apakah benar dia berkahwin lain.

"Demi Allah, sehingga saat ini hanya Erma Fatima isteri saya yang sah. Saya tidak pernah berkahwin lain selain daripada Erma," itu pengakuan Bade kepada penulis.

Bade enggan menjadi lelaki penakut. Andai benar dia teringin untuk memadukan Erma, dia tidak perlu melakukannya secara diam-diam.

Sebaliknya, Bade sendiri yang akan memaklumkan hasrat itu kepada isterinya kerana sejak dari dulu lagi Erma katanya, mengizinkan dia menambah bilangan isteri.

"Bukan itu sahaja, malah Erma sendiri berjanji akan meminangkan gadis atau wanita idaman saya itu kerana dia memang tidak pernah menghalang jika saya mahu berkahwin lagi.

"Naluri saya tidak ke situ. Hati, kasih dan sayang saya hanya untuk seorang wanita bernama Erma Fatima serta lima orang anak kami," luah Bade dalam nada yang sangat jujur.

Jangan suka buat gosip

Bade mengakui, sejak berkahwin, dia dan Erma jarang kelihatan bersama khususnya pada majlis-majlis hiburan.

Namun, keadaan itu ujar Bade, tidak sewajarnya menjadi umpan atau modal kepada orang ramai mengandaikan hubungan mereka retak.

"Bagi kami dalam sebuah rumah tangga selain kasih sayang sikap saling percaya dan persefahaman adalah penting dalam memelihara keharmonian dan kebahagiaan rumah tangga," Bade mengulangi prinsip dia dan Erma sekali lagi.

Bagi Erma yang mencuri dengar perbualan penulis dan Bade pula tiba-tiba menyampuk, tidak ada sebab untuk dia menghalang suaminya untuk berkahwin lain.

"Sejak dulu Erma beritahu Bade jika dia mahu kahwin lagi, beritahu Erma dan Erma akan meminangkan untuk dia," Erma meluahkan kesediaan dia menjadi wakil Bade untuk kesekian kalinya.

Sebagai manusia yang waras akal fikirannya, Erma sangat realistik bahawa dia bukanlah seorang isteri yang sempurna.

Dengan kerjayanya sebagai pembikin filem, Erma sedar masanya banyak dihabiskan di lokasi sehingga ada ketika dia tidak dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab seorang isteri dengan sempurna.

"Erma harap apabila Bade kahwin lagi satu, isteri barunya mampu menjaga makan dan minum Bade sempurna mungkin.

"Bukan Erma tidak menjaga makan minum dan pakai Bade selama ini, cuma kadangkala tanggungjawab di lokasi membuatkan Erma melakukannya dalam keadaan tergesa-gesa," kata Erma mengakui kelemahan dirinya.

Erma bagaimanapun bersuyukur, suami serta rakan-rakan dia dan Bade sedia maklum yang dia merupakan seorang wanita yang suka bekerja.

"Sesibuk mana pun, Erma tidak pernah lupa pada suami dan anak-anak. Bagi Erma, merekalah syurga dan buah hati Erma, sebab itu demi kebahagiaan Bade dan keluarga, Erma sanggup lakukan apa sahaja walaupun hidup bermadu!" ujarnya sambil merenung suami tercinta.

Pada masa yang sama, Erma amat bersyukur kerana Bade seorang suami yang sangat memahami kerjayanya dan tidak mengongkong minat isteri.

Sering 'diceraikan'

Bercerita mengenai kehidupan mereka sebagai selebriti, Erma dan Bade sebenarnya sudah lali hidup dalam dunia glamor.

Namun mereka tidak pula kesal dengan apa yang dilalui termasuk kisah tidak masuk akal kononnya mereka bercerai!

"Mungkin ramai yang tidak tahu, sebenarnya di awal perkahwinan kami sudah tersebar cerita kononnya kami bercerai. Dah banyak kali kami 'diceraikan' oleh mereka yang suka bergosip.

"Lebih 20 tahun dalam industri ini malas untuk Erma fikirkan semua itu. Bahkan ia sedikit pun tidak membebankan Erma kerana Erma amat mengenali suami Erma," kata Erma sambil memandang penuh kasih Bade yang duduk di sisinya.

Erma dan Bade dinikahkan pada 30 November 1990 dan bersanding sebulan selepas tarikh itu.

Walaupun perkahwinan mereka awalnya bersandarkan hubungan persahabatan kerana sebelum itu masing-masing ada pasangan sendiri, namun rumah tangga mereka kekal bahagia sehingga hari ini.

Sepanjang perkahwinan, memang jarang hadir bersama dalam sesuatu majlis kerana kekangan waktu dan tugas.

Namun itu bukanlah alasan kepada suami isteri yang sama kerjaya ini melupakan perasaan kasih sayang antara mereka berdua.

Sebaliknya kesibukan masing-masing menambahkan lagi perasaan kasih dan sayang di hati mereka.

Menurut Erma, apabila ada wartawan menelefonnya pada Julai lalu dan bertanya tentang gosip itu, dia sedikitpun tidak marah sebenarnya.

"Mulanya Erma ketawa sebab Erma tak fikir yang Bade akan buat begitu. Tetapi setelah ketawa itu reda, Erma beritahu mereka Bade tidak mungkin kahwin sembunyi-sembunyi sebab Erma reda dan terima apa juga keputusannya jika dia mahu berkahwin lagi.

"Dalam Islam sendiri membenarkan lelaki yang mampu dari segi zahir dan batin untuk berkahwin lebih daripada satu, kenapa Erma mahu menghalang hukum agama?" tegasnya.

Dan apabila Erma bertanya Bade hal itu, Bade dengan tegas dan jujur menafikannya.

"Apa lagi yang Erma boleh buat? Mengenali Bade selama 20 tahun sejak hidup sebagai suami isteri, Erma tahu Bade tidak suka bercakap bohong.

"Dunia Bade hanya rumah dan lokasi penggambaran. Bade bukan seorang suami yang kaki kelentong, bukanlah memuji tetapi Erma sangat mengenali seorang yang bernama Badaruddin Azmi!" kata Erma.

Bagi pasangan bahagia itu, mereka sendiri tidak dapat mencari jawapan pasti apakah tujuan sebenar mereka yang tidak bertanggungjawab menyebarkan gosip berkenaan.

"Erma tidak tahu siapa yang menyebarkan gosip ini tetapi jika mereka yang berniat jahat untuk memisahkan kasih sayang kami berdua kerana gosip ini, mereka salah!" Erma menyambung perbualan.

Bade pula ketika ditanya apakah ketiadaan zuriat sendiri membebankan perasaannya, sambil ketawa besar dan memandang isteri tersayang, berkata:

"Lima orang anak yang kami miliki ini adalah pengikat kasih sayang kami berdua. Kenapa setelah sekian lama kami hidup bahagia, isu itu yang mereka bangkitkan?

"Melihat mereka membesar di depan mata membuatkan saya cukup bahagia menjadi seorang suami dan ayah. Saya tidak pernah bosan duduk di rumah bersama mereka, walaupun Erma sibuk di lokasi," kata Bade lagi.

Polis Malaysia Cekap.. Kehilangan Jutawan Kosmetik Akan Ditemui - Kata Ketua Polis Yang Bakal Bersara

Musa berkata pihaknya telah menerima maklumat mengenai kehilangan Sosilawati dan rakan-rakannya. — gambar fail
SHAH ALAM, 7 Sept — Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini berkata pihaknya telah mempunyai maklumat berhubung kehilangan pengasas produk kosmetik Nouvelle Visages, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi sejak 30 Ogos lepas.

Beliau berkata berdasarkan maklumat itu pihaknya yakin dapat menemui keempat-empat mereka.

“Kita ada maklumat-maklumat tertentu. InsyaAllah kita akan dapat jumpa mereka ...kita ada maklumat,” katanya pada sidang media semasa lawatannya ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor sempena persaraannya, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas perkembangan terkini berhubung kehilangan Sosilawati, 47, dan tiga lagi iaitu peguamnya Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, pemandu peribadinya Kamarudin Shansudin, 47 dan pegawai CIMB Bank Norhisham Mohammad, 38.

Mengulas lanjut, Musa berkata polis kini menyoal siasat semua anggota keluarga mereka yang hilang bagi mengesan jejak terakhir keempat-empat individu berkenaan termasuk siapa yang mereka bercadang untuk berjumpa pada hari tersebut.

“Buat masa ini kita sedang mencari orang yang nak berjumpa dengan dia (Sosilawati), yang dipercayai seorang peguam yang mengatakan nak menjalankan kontrak penjualan hartanah,” katanya.

Musa juga berkata tidak ada tanda mencurigakan ditemui polis pada kereta Sosilawati yang dijumpai di Subang Jaya semalam.

Sosilawati dilaporkan gagal pulang ke rumahnya sehingga hari ini selepas keluar untuk ke Banting, Selangor dipercayai bagi menguruskan jual-beli tanah di sana pada 30 Ogos lepas.

— Bernama

ADUN Tebing Tinggi Telepas Tuduhan Miliki 23 DVD...

ADUN Tebing Tinggi dari DAP, Ong Boon Piow, terlepas daripada tuduhan memiliki 23 DVD ang belum diluluskan oleh lembaga penapisan filem.

perak state govt crisis state adun assemble under the rain tree 030309Peguam beliau, Yee Su Kai, berkata selepas menunggu kira-kira sejam di mahkamah majistret Ipoh, beliau diberitahu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mark Netto, bahawa beliau menerima arahan untuk tidak meneruskan pertuduhan.

Dakwaan berkenaan sepatutnya dibacakan di Mahkamah Mejistret Ipoh, pagi ini tetapi dipercayai ditangguhkan atas arahan ketua pendakwa negeri.

“Mereka sedang menuju arahan lanjut dari Putrajaya,” katanya ketika dihubungi, sebelum keputusan berkenaan.

Ong petang semalam diarahkan oleh polis untuk hadir di mahkamah berkenaan hari ini.

perak tree of democracy - the plaqueBeliau sebelum ini dikatakan akan akan didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (a) Akta Penapisan Filem 2002. Jika terbukti bersalah, Ong boleh dipenjarakan sehingga tiga tahun, denda antara RM5,000 hingga RM30,000 atau kedua-duanya sekali.

DVD kontroversi bertajuk "Rampasan Kuasa BN di Perak" itu memuatkan rakaman sidang tergempar dewan undang negeri Perak pada 3 Mac 2009 yang diadakan di bawah sebatang pokok yang dirakamkan oleh Ong.

Nik Aziz : "I know you (saya kenal awak)"

KOTA BARU: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata pihak yang mempersoalkan kenyataannya yang orang bukan Islam boleh masuk ke dalam masjid, sebagai mahu mempolitikkan isu berkenaan.

"Kenapa isu membenarkan bukan Islam masuk rumah ibadah agama Islam diperbesarkan-besarkan, sedangkan orang bukan Islam yang membina dan membuat mimbar masjid tidak dipersoalkan" katanya.

Menteri Besar berkata di Kelantan, orang bukan Islam turut memberi sumbangan peralatan termasuk besi dan simen bagi pembinaan Masjid Bara'ah di Pasar Siti Khadijah di sini.

"Ini menunjukkan rakyat Kelantan faham, termasuk bukan Islam faham mengenai Islam," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan pakaian sempena Aidilfitri sumbangan Pusat Pakaian Hari-Hari kepada golongan miskin di Kubang Kerian, di sini sini hari ini.

Dalam kenyataan sebelum ini, Nik Abdul Aziz mempertahankan tindakan Anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Ching, menyampaikan sumbangan di surau Al-Huda, Kajang Sentral, Selangor baru-baru ini, yang menimbulkan kontroversi di kalangan umat Islam.

Mengenai kenyataan Anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali yang meminta beliau membuktikan kebenaran dakwaannya dengan nas dan ayat al-Quran, Nik Abdul Aziz dengan nada sinis berkata: "I know you (saya kenal awak)".

- BERNAMA

Dua kereta ditemui di Subang Jaya, Nasib Sosilawati Masih ‘Misteri’

Pasukan forensik sedang mengambil bahan bukti daripada kenderaan BMW M5, dipercayai milikjutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya yang ditemui di parkir kenderaan di Pangsapuri Angsana, USJ 1, malam tadi. - Foto THE STAR Oleh KEVIN TAN


Sosilawati Lawiya, bekas isteri penyanyi Nash yang hilang sejak 30 Ogos lalu. — Gambar ihsan dari akaun Facebook
KUALA LUMPUR, 7 Sept — Dua kereta mewah dipercayai milik jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan seorang peguamnya, yang dipercayai hilang sejak 30 Ogos lalu, ditemui oleh di dua lokasi berbeza di Subang Jaya dekat sini malam tadi.

The Malaysian Insider difahamkan kereta BMW M5 dengan nombor pendaftaran WTL 11, dipercayai milik Sosilawati ditemui di parkir kenderaan di Pangsapuri Angsana di Persiaran Subang Mewah manakala BMW 5series, bernombor pendaftaran AAJ 5, dipercayai milik peguamnya ditemui berhadapan dengan sebuah rumah teres berdekatan Pusat Perubatan Subang dan hotel berhampiran.

Kedua-dua kenderaan itu ditemui sekitar 10 malam tadi.

Bernama melaporkan sehingga berita ini ditulis, tengah malam tadi, terdapat dua pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Bukit Aman sedang mengambil bukti dan maklumat lanjut dari dua kawasan penemuan kereta berkenaan.

Difahamkan kenyataan media berhubung penemuan itu akan dikeluarkan pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah mengesahkan penemuan kereta terbabit bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Ketika ditanya sama ada kesemua mangsa sudah dikesan, Ku berkata: “Belum.”

Polis Selangor juga memberitahu The Malaysian Insider bahawa pihkanya dimaklumkan ada menerima maklumat mengenai penemuan kereta tetapi enggan mengulas lanjut kerana kes ini dikendalikan oleh Kuala Lumpur.

Dua kereta dan peguamnya ditemui beberapa jam selepas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata senarai panggilan telefon terakhir Sosilawati dan tiga yang lain dipercayai dapat membuka laluan penyiasatan berhubung kehilangan mereka.

Musa berkata pihaknya sedang menunggu data tersebut dan yakin butiran lanjut mengenai kejadian itu akan terungkai sebaik sahaja perincian penggunaan telefon oleh keempat-empat mereka diteliti.

“Kita perlu siasat kesemua anggota keluarga yang terlibat. Setakat ini kita belum dapat apa-apa petunjuk lagi.

“Antara yang kita siasat adalah panggilan telefon (panggilan terima dan panggilan keluar) kesemua mangsa untuk siasatan lanjut,” katanya.

Hanya satu laporan saja diterima polis berhubung kehilangan keempat-empat individu tersebut iaitu pada Khamis lepas daripada keluarga Sosilawati.

Satu sumber berkata, sebelum hilang, Sosilawati yang merupakan bekas isteri penyanyi terkenal dikatakan telah meninggalkan pejabatnya bagi menghadiri majlis berbuka puasa.

Namun, selepas meninggalkan pejabat itu, telefon bimbit milik wanita terbabit gagal dihubungi menyebabkan anak sulungnya yang dikenali sebagai Rita membuat laporan di Balai Polis Gombak.

Sosilawati, 47, dilaporkan hilang oleh anggota keluarganya setelah dikatakan keluar dari rumahnya di Gombak, sejak 30 Ogos lalu.

Beliau dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas memberitahu salah seorang anak perempuannya mahu ke Banting atas urusan kerja selama tiga hari, namun gagal berbuat demikian sehingga kini.

Ahli perniagaan itu dilaporkan hilang bersama pemandu, peguam peribadi dan seorang pegawai bank sejak 30 Ogos lepas dan difahamkan Sosilawati membawa wang jutaan ringgit.

Polis kini menyiasat sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kes kehilangan jutawan itu.

Sosilawati merupakan bekas isteri kumpulan Lefthanded, Jamaludin Elias atau lebih dikenali Nash.

Sosilawati dan Nash, 50, telah berkahwin pada 16 November 2006 sebelum bercerai secara sah dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada 26 Mei 2009.

Laporan media semalam menyebut sebelum dilaporkan hilang, Sosilawati yang berasal dari Batu Pahat, Johor dipercayai telah mengeluarkan wang sebanyak RM4 juta kononnya bagi membeli sebidang tanah di Banting.

Sosilawati menghadiri Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam 26 Ogos lalu dan memaklumkan mahkamah bahawa wang RM1.38 juta yang digunakan untuk membayar hutang rumah serta dilaburkan dalam tiga akaun atas nama Nash adalah hasil titik peluhnya sendiri.

Sosilawati memfailkan tuntutan agar wang pemberian sebanyak RM1.38 juta dikembalikan kepadanya manakala dua pertiga daripada keuntungan, bonus dan dividen daripada saham-saham turut diberikan kepadanya.

Beliau juga dikatakan menghadiri majlis berbuka puasa rasmi pada 29 Ogos lalu.

Ketua Polis Negara Kecewa Sikap Pegawai KDN?

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini meluahkan kekecewaannya dengan tindakan sesetengah pihak yang mencampuri urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika badan keselamatan negara itu mengawal ketenteraman awam dan menahan mereka yang menyalahi undang-undang.

"Tidak perlu campur tangan orang lain. Kita ada 'command and control' dengan arahan bermula dari saya hingga ke pegawai bawahan.

"Jadi, tidak perlu ada pihak ketiga untuk bagi arahan. Jika berlaku (arahan tanpa pengetahuan kita), ini salah satu tindakan yang salah dan menyalahi undang-undang," katanya pada sidang media sempena persaraan beliau yang berkuatkuasa 12 Sept ini di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pahit dan manis sepanjang 41 tahun bersama pasukan PDRM itu.

Katanya jika ada arahan dari pihak yang salah, masalah lapuk (campur tangan) ini akan terus menerus berlaku selain menegaskan antara pihak ketiga itu adalah orang dari kementerian, orang luar, orang yang ada kepentingan dan orang yang suka buat kacau.

Selain itu beliau turut kecewa ada sesetengah anggota dan pegawai PDRM yang tidak bersama-sama menanamkan sifat integrasi dalam diri mereka ketika anggota lain berbuat sedemikian.

"Bila saya cuba hendak tingkatkan integrasi, ada sebilangan yang cuba rosakkan seperti terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa serta merosakkan imej PDRM," katanya.

Musa, 59, yang bersara pada 2007, disambung perkhidmatan dengan kontraknya diperbaharui sebanyak dua kali dan akan bersara pada 12 Sept ini.

Ketika ditanya mengenai bagaimana perasaannya apabila diumumkan beliau tidak akan disambung kontrak tempoh hari, Musa berkata perkara terbabit tidak diketahuinya sehinggalah pengumuman dibuat.

"Tiada orang bagi tahu saya mengenai perkara itu. Saya tahu sendiri apabila ia diumumkan," katanya yang menyambut baik pengumuman itu selain berterima kasih kepada semua pihak yang membantunya sepanjang perkhidmatannya.

Ketika ditanya mengenai nasihatnya kepada orang awam, beliau berkata masyarakat perlu mempunyai 'first class mentality' dengan tidak bertindak sendiri dalam menyelesaikan sesuatu masalah sehingga melanggar undang-undang.

Menurutnya masyarakat juga perlu menghormati anggota polis yang bertugas sehingga ada yang mengorbankan nyawa mereka dalam menjaga keselamatan negara.

"Bila kes kematian penjenayah akibat tindakan polis, sesetengah masyarakat pandang serong.

"Bagaimana dengan kematian anggota polis ketika bertugas? Jangan layan kami seperti penjenayah kerana kami juga sebahagian dari masyarakat dan kami menjaga keselamatan kamu," katanya.

Dalam pada itu, Musa berharap agar penggantinya, Tan Sri Ismail Omar yang kini menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Negara, dapat meneruskan pelan strategik lima tahun PDRM dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat dan anggota mereka sendiri.

"Pelan Strategi Lima Tahun PDRM tidak boleh dihentikan kerana ada pelan untuk penstrukturan semula polis untuk fokus pada tugas penting terutamanya membanteras jenayah.

"Sebab itu kita wujudkan jabatan baru seperti 'terrorism and research'. Ini adalah penting supaya kita boleh bertindak dengan cepat dalam sesuatu kes," katanya.

Menurut beliau ketika ini pelan terbabit baru mencapai tahap 48 peratus dan diharap pelan ini akan diteruskan yang antara lain meningkatkan kualiti penyiasatan, menambah anggota dan memperbanyakkan balai polis.

Ketika ditanya apa yang ingin dilakukannya selepas bersara, Musa berkata kini adalah masa yang paling sesuai baginya untuk berehat panjang memandangkan jarang mengambil cuti selain ingin menjadi rakyat yang baik.

"Ya, jika ada kesempatan saya ingin melawat rakan-rakan saya di mana-mana balai atau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK).

"Selain itu mengajar cucu saya untuk menjadi rakyat yang lebih baik," katanya.

- Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Murah Giler: Sapa Nak Order Klik Image

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.