PAS gesa Kerajaan Pusat Mengkaji Semula Undang-Undang

KUALA LUMPUR, 12 Okt: PAS meminta kerajaan mengkaji semula undang-undang yang digunakan di negara ini dalam menangani masalah jenayah yang semakin meningkat.

Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, mungkin ada sesuatu yang tidak kena dengan undang-undang yang digunakan sekarang sehingga kadar jenayah, rasuah, dan maksiat seolah-olah tidak terbendung lagi.

"Dalam aspek keamanan dan keselamatan, kita melihat kadar jenayah meningkat, rasuah tak boleh diatasi, maksiat juga berlaku.

"Oleh itu kerajaan mesti mengkaji semula undang-undang yang diamalkan hari ini, mungkin undang-undang ini tidak berkesan," katanya yang juga ahli Parlimen Marang  sewaktu membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2012 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, sudah sampainya kerajaan memperkenalkan undang-undang yang mengutamakan syariat Islam melalui institusi agama yang ada di negara ini.

"Kerajaan perlu muhasabah dan kenalkan syariat Islam kepada masyarakat. Kita ada Ikim (Institut Kefahaman Islam Malaysia), ada mufti dan boleh perkasakan aktiviti mereka untuk atasi masalah jenayah kerana keamanan merupakan  satu rukun penting dalam negara yang bertamadun," katanya.

Agih hasil sumber dengan betul

Selain itu, beliau yang juga Adun Rhu Rendang mendakwa kerajaan gagal menguruskan hasil bumi negara mengikut formula Islam yang akan memberikan manfaat kepada seluruh rakyat.

Memberi contoh pemberian royalti petroleum kepada negeri yang terlibat, beliau berkata kerajaan hanya memberikan lima peratus daripada jumlah hasil yang diperoleh sedangkan mengikut Islam ianya harus diberikan sebanyak 20 peratus.

"Ini menunjukkan di sana ada kebocoran dalam kita memanfaat hasil bumi yang dikurnia Allah. Amat malang negeri yang banyak hasil minyak sebagai contoh Sabah, Sarawak dan Terengganu tetapi kadar kemiskinannya tinggi.
Islam telah menganjurkan rumus iaitu 1 per 5 iaitu 20 peratus diberi kepada negeri yang punya hasil sebagai sumbangan untuk selesaikan masalah rakyat

"Kerajaan beri 5 peratus adalah tak cukup dan itu pun pengendalian tak betul, tak turun kepada rakyat walaupun Perdana Menteri kata BN menunjukkan satu amal kebajikan kepada rakyat," katanya.

Hapus riba

Sementara itu, beliau juga mahu kerajaan menghapuskan sistem riba yang didakwa akan menyebabkan negara terbeban dengan hutang.

"Saya mengalukan usaha memperkasa perbankan Islam tetapi dalam masa yang sama kita tidak berusaha ke arah menghapuskan riba yang diharamkan Islam yang berlaku dalam mualmalat dan kita kena sedar bagaimana mualamat inilah yang menjahanamkan ekonomi dunia," katanya.

Selain itu katanya, Islam menganjurkan kutipan cukai berdasarkan produktiviti dengan tidak membebankan rakyat miskin.

Namun katanya, apa yang berlaku kerajaan mengenakan cukai kepada semua golongan misin termasuk mereka yang berpendapatan rendah.

"Cukai boleh melibatkan secara langsung dan tidak langsung kepada rakyat miskin contohnya tol jalan raya melibatkan paling banyak pengguna  jalan raya.

"Bukan tidak perlukan tol tapi jangan naikkan sebaliknya berusaha untuk menurunkan tol dan sehingga boleh dihapuskan," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.